Spilt Gravy

DAILYTV: HAMPIR 10 TAHUN TERTANGGUH, FILEM SPILT GRAVY AKHIRNYA TEMUI PENONTON DI PAWAGAM 9 JUN INI

(Untuk artikel penuh yang ditulis oleh Syanty Octavia Amry dan diterbitkan pada 31 Mei 2022, sila layari laman sawang DailyTV.)

KUALA LUMPUR: Hampir 10 tahun tertangguh akibat melalui pelbagai proses suntingan dan tapisan, filem komedi gelap yang ditunggu-tunggu Spilt Gravy Ke Mana Tumpahnya Kuah… akhirnya bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 9 Jun ini.

Filem arahan Datuk Zahim Albakri itu pada asalnya diklasifikasikan sebagai Tidak Sesuai Untuk Tayangan (TUT) oleh Lembaga Penapis Filem (LPF).

Namun begitu, selepas diolah beberapa kali oleh pembikin filem, akhirnya mendapat kelulusan pada Mac 2020, tetapi terpaksa menunggu 2 tahun pula akibat pelbagai halangan pandemik Covid-19.

Berkongsi mengenai perkara itu, Zahim berkata, banyak hal yang dipelajarinya sepanjang melalui proses menyiapkan filem ini.

“Hampir hari-hari saya berbincang dengan LPF untuk mendapatkan hasil terbaik sepanjang proses olahan ini berlangsung.

“Mereka juga bermurah hati memberikan pelbagai idea, pendapat serta alternatif disebabkan saya mahu naskhah filem ini dihasilkan untuk tontonan awam,” katanya.

Zahim berkata, walaupun terpaksa menunggu lama hampir sedekad dia lega akhirnya filem ini berjaya ditayangkan.

Diadaptasi daripada skrip pemenang anugerah Allahyarham Jit Murad, Spilt Gravy Ke Mana Tumpahnya Kuah… melalui pengalaman lakonan dan pengarahan lebih tiga dekad, Zahim bertanggungjawab dalam kesemua tiga peringkat pembikinan filem itu yang asalnya diberi nama Spilt Gravy On Rice yang pernah menemui penonton Malaysia dan Singapura pada 2002 hingga 2003.

Spilt Gravy Ke Mana Tumpahnya Kuah… menampilkan Datuk Rahim Razali sebagai teraju utama selain Na’a Murad, Bernice Chauly, Sean Ghazi, Juliana Ibrahim dan Datuk Zahim sendiri sebagai watak utama.

Ia turut dibantu oleh ramai pelakon pentas terkenal, TV dan personality filem.

Berlatarkan ibu kota Malaysia Kuala Lumpur, filem ini berkisar mengenai sebuah keluarga Melayu kelas pertengahan atas yang agak porak peranda.

Spilt Gravy Ke Mana Tumpahnya Kuah… menggunakan latar masa dalam sehari, iaitu pada 8 Jun 2011.

Baca selanjutnya di DailyTV.

Post a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *