Spilt Gravy

ArtsEquator: Ke Mana Tumpahnya Tuah… Kalau Tidak Ke Hati

(Untuk artikel penuh yang ditulis oleh Daniyal Kadir dan diterbitkan pada 14 Jun 2022, sila layari laman sawang ArtsEquator.)

Penggiat teater Malaysia, Fasyali Fadzli, dalam satu tulisan belasungkawanya ketika mengenang pemergian Jit Murad pada 12 Februari 2022, telah memberikan kesimpulan bermakna untuk kita mengenali susuk ini. Fasyali melihat Jit sebagai seniman yang dekat dengan karya bersifat komedi dengan kecenderungan mendedahkan realiti dan kepincangan sosial masyarakat bandar. Jit pada Fasyali berani menelanjangkan hipokrasi masyarakat, khususnya orang Melayu. Malah dalam pemerhatiannya, Fasyali melihat Jit mempunyai kepintaran dalam meneroka kepelbagaian persoalan tabu dalam masyarakat Melayu di negara ini.

Rumusan dibuat Fasyali tentang kekuatan jenaka dibawakan Jit tepat dan dapat diperhatikan dalam filem Malaysia, yang dinanti-nantikan selama ini, Spilt Gravy / Ke Mana Tumpahnya Kuah... arahan Zahim Albakri, yang diadaptasi daripada teks pementasan teater tulisan Jit sendiri. Filem ini telah menempuh ranjau panjang sebelum akhirnya menemui penonton di panggung wayang di Malaysia, bermula 9 Jun 2022. Teater ini pertama kali dipentaskan di Actors Studio, Bangsar, Kuala Lumpur pada Ogos 2002 dan kemudian semasa Boh Cameronian Arts Awards yang pertama pada tahun 2003, ia memenangani empat anugerah iaitu Skrip Asal Terbaik, Pengarah Terbaik, Rekaan Cahaya Terbaik dan Anugerah Pilihan Penonton.

Selain kekuatan Jit Murad, filem ini juga memberikan pengertian besar dalam kita mengenang kesan penapisan filem terhadap karya yang dihasilkan. Spilt Gravy siap sekitar tahun 2012 dan pada tahun yang sama pihak penerbitan menghantar permohonan kepada Lembaga Penapis Filem (LPF). Namun begitu, filem ini menerima keputusan tidak lulus untuk tayangan atas alasan ia tidak sesuai untuk ditayangkan secara meluas. Namun begitu, dalam tempoh berkenaan pihak penerbitan tidak berputus asa dan mencuba menghantar pelbagai versi untuk dinilai oleh LPF. Pada Mac 2020, akhirnya filem ini diluluskan dan menerima klasifikasi PG-13. Selepas panggung wayang beroperasi seperti biasa selepas negara memasuki fasa endemik, akhirnya rakyat Malaysia berpeluang menikmati Spilt Gravy.

Berdasarkan maklumat daripada pihak penerbitan, perbezaan versi terkini dan asal adalah sangat sedikit dan ia melibatkan antara lain kata-kata kesat disenyapkan serta penamatnya yang diberikan alternatif. Namun penantian 10 tahun tetap panjang dan filem ini juga boleh dijadikan kisah klasik permasalahan penapisan filem di Malaysia.

Baca selanjutnya di ArtsEquator.

Post a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *